Rabu, 15 Oktober 2008

Isu fokus: minggu keEMPAT

Jika minggu lepas isu gejala pelajar suka membuat bising menjadi pilihan, pengurusan bilik darjah pula menjadi isu pilihan untuk ruangan fokus isu pada minggu ini. Ini dibuat berdasarkan tinjauan dan pengamatan saya selama 4 minggu berada di sekolah ini. Pemilihan ini dibuat bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi atas kesedaran saya untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dilaksanakan dalam suasana yang kondusif. Tugas-tugas guru selaku pengurus kelas amat penting dan perlu untuk menjamin segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan di bawah keadaan yang berdisiplin tanpa membazirkan masa. Oleh yang demikian, isu yang akan dibincangkan pada minggu ini adalah :
:
1. Persekitaran Bilik Darjah Yang Kurang Kondusif

Pengurusan bilik darjah yang kondusif adalah antara elemen penting yang menyumbang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru merupakan pengurus bilik darjah. Kecekapan guru sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, kajian juga membuktikan bahawa, keberkesanan P&P di dalam bilik darjah banyak bergantung kepada corak interaksi guru dengan murid, murid dengan murid dan murid dengan bahan pembelajaran. Kesemua faktor ini saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain.

Secara keseluruhan, saya mendapati pengurusan bilik darjah di sekolah ni berada pada tahap yang memuaskan. Penilaian ini dibuat berasaskan kepada pengamatan dan pengalaman mengendalikan P&P di dalam kelas. Antaranya, wujudnya keadaan kelas yang kotor dan tidak terurus terutamanya kelas-kelas yang melibatkan pelajar di tahap satu. Situasi ini juga dapat dilihat dengan jelas di dalam bilik-bilik khas seperti bengkel kemahiran hidup, makmal sains, makmal komputer dan juga pusat sumber. Daripada tinjaun yang dibuat, didapati jadual kebersihan yang wujud di dalam kelas tidak berfungsi sepenuhnya. Pemantaun yang kurang oleh guru-guru yang bertanggungjawab juga menyumbang kepada permasalahan ini. Kesedaran di kalangan pelajar tentang kebersihan juga kurang dan sikap acuh tak acuh segelintir pelajar dalam menjaga kebersihan kelas dan bilik darjah amat mengecewakan. Tanpa rasa tanggungjawab, mereka membuang sampah dimerata tempat, mengasah pensel di bawah meja dan membiarkannya bersepah mewujudkan pemandangan yang tidak enak di dalam kelas.

Keadaan bengkel dan makmal yang berhabuk, keadaan buku-buku yang berselerak dan tidak tersusun di pusat sumber adalah pemandangan biasa bagi warga sekolah ini. Teguran demi teguran daripada guru-guru tidak diendahkan oleh segelintir pelajar yang mempunyai kesedaran yang rendah. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat kelas-kelas yang bersih dan tersusun. Namun bilangannya adalah kecil. Situasi ini menuntut kepada perubahan kerana keberkesanan P&P mempunyai perkaitan yang rapat dengan keadaan kelas yang kondusif.oleh itu semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihaksekolah mewujudkan suasana pengajran dan pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.


Refleksi

Antara pendekatan yang boleh diambil oleh pihak sekolah ialah memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan di peringkat akar umbi. Kesedaran boleh diselitkan dalam P&P secara langsung dan tidak langsung. Guru-guru juga mestilah membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan kelas yang bersih dan tersusun. Tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan di bahu guru kelas sahaja, sebaliknya semua guru boleh mengambil inisiatif menasihat dan memantau sikap pelajar yang tidak bertanggunjawab dengan memberi teguran dan nasihat kepada mereka. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh guru kadangkala akan memberi impak positif kepada pelajar. Selain daripada itu, memberi penghargaan dengan membuat penambah baikan ke atas penganjuran pertandingan kelas terbersih juga boleh dilaksanakan dalam memupuk kesedaran di kalangan pelajar.

Antara pendekatan yang saya ambil dalam menangani isu ini a ialah dengan memastikan kelas berada dalam keadaan bersih dan tersusun sebelum P&P bermula. Perkara ini saya tegaskan kepada pelajar, ketika pertama kali saya bertemu mereka. Dalam memupuk sifat cintakan kebersihan di kalangan pelajar, saya akan bersama-sama mereka membersihkan kelas dan ketegasan ini sedikit sebanyak mengikis sikap sambil lewa ,mereka terhadap kebersihan kelas. Selain daripada itu, saya telah mengambil inisiatif membersihkan bilik-bilik khas seperti makmal dan bengkel setiap kali sebelum menggunakannya. Kesannya, perjalanan kelas dapat berjalan dalam suasana yang selesa dan harmoni. Pelajar-pelajar juga dilibatkan membuat ketetapan, bengkel dan makmal dibersihkan dan berada dalam keadaan tersusun sebelum mereka meninggalkan tempat-tempat tersebut.
Hasrat murni ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua pihak. Semua guru, kakitangan sekolah dan pelajar-pelajar memainkan peranan masing-masing, persekitaran sekolah yang kondusif berjaya dicapai. Ringkas kata, iklim bilik darjah yang dikatakan baik adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, elok dipandang dan teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan dan bahagia kepada murid yang sedang belajar di dalam bilik darjah. Suasana dan iklim bilik darjah yang kondusif seperti ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran dalam bilik darjah.

Tiada ulasan: