Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KEDUA

Minggu kedua ini saya mulakan dengan semangat dan azam baru dengan melangkahkan kaki ke sekolah sekitar jam 6.50 pagi. Saya mengharapkan minggu kedua ini lebih baik dari minggu pertama kerana saya percaya dalam proses pembelajaran ini, pasti ada peningkatan setelah kita belajar dari pengalaman. Saya menghadiri perhimpunan pada pagi tu dengan tenang dan asyik mendengarkan ucapan guru-guru pada pagi itu. Guru bertugas pada minggu ini ialah cikgu Hajah Siti Khotima dan Cikgu Uzair. Dalam ucapan guru bertugas, Cikgu Siti Khotima telah mengingatkan murid-murid lima perkara iaitu:
Larangan makan dan minum di tempat-tempat larangan seperti di kelas, koridor dan lain-lain. Makan hanya di kantin sekolah.
Jangan membazir elektrik terutamanya semasa rehat.
Tabiat tidak bersedia untuk P&P dengan tidak membawa buku,tidak menyiapkan kerja rumah dan membuat kerja rumah pada waktu P&P telah mengganggu kelancaran P&P dan merugikan pelajar-pelajar yang lain.
Keluar masuk ke kelas semasa P&P hendaklah dengan memakai pas kebenaran.

Semoga segala peringatan ini akan diingati dan diamalkan oleh murid-murid. Sementara itu, Guru Besar juga telah memberi ucapan dengan menceritakan kisah pengajaran yang boleh dijadikan teladan oleh para pelajar. Antara lain kisah ini berkisar tentang kesungguhan yang disertai dengan usaha yang berterusan tanpa mengenal penat dan jemu, pastinya akan membuahkan hasil. Seperti biasa perhimpunan hari ini ditamatkan dengan bacaan doa dan ikrar pelajar.
Pada hari jumaat, program membudayakan Al-Quran telah dijalankan secara berasingan antara guru dan murid. Program untuk murid-murid dikendalikan oleh seorang ustaz, pelajar tahun 6 pula mengadakan program solat hajat dan bacaan yassin manakala guru-guru pula mengikuti program tazkirah yang disampaikan oleh ustazah Nur Husna. Antara intipati tazkirah yang disampaikan ialah mengenai kelebihan bulan rejab dan peritiwa penting bagi umat Islam iaitu peritiwa Isra’dan Mikraj. Bulan rejab ialah bulan menabur benih, dimana galakan memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti puasa, sedekah, beristigfar dan amalan lain akan digandakan ganjarannya oleh Allah S.W.T. Program ini disusuli oleh taklimat daripada Guru Penolong Kanan 1, Puan Mahyah mengenai program untuk pelajar UPSR iaitu program kelas Anjal , Ujian Diagnostik untuk mata pelajaran Sains dan Matematik serta Teknik Menjawab Bahasa Inggeris yang akan diadakan pada hari Ahad. Makluman juga disampaikan berhubung Ujian Formatif 3 untuk tahun 1,2,3,4 dan 5 yang akan diadakan pada 28 dan 29 haribulan ini, serta penghantaran buku latihan untuk disemak oleh guru Besar dan Guru-guru penolong kanan dengan kadar yang segera untuk guru-guru yang belum berbuat demikian.
Sepanjang minggu ini, saya akan mengendalikan kelas P&P sepenuhnya . Berbekalkan pengalaman semasa bersama guru pembimbing mengendalikan kelas P&P pada minggu lepas, saya telah membuat persediaan yang secukupnya. Pada hari pertama , percubaan pertama saya berjaya kerana P&P yang dirancang berjaya dikuti oleh pelajar dengan baik. Tetapi pada hari kedua saya agak kecewa kerana tidak dapat menjalankan sesi P&P seperti yang dirancang. Saya telah membuat persiapan yang rapi satu jam lebih awal dengan memasang LCD, bahan BBM yang akan digunakan dalam P&P, kelewatan pelajar-pelajar ke bengkel telah mengganggu P&P yang disusun. Ada segelintir pelajar yang tidak dapat mengikuti arahan dan tidak bersedia untuk belajar menyebabkan sesi P&P lewat dimulakan. Saya berjanji peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi.
Semasa menjalankan P&P pada hari berikutnya, dengan semangat yang tinggi, saya lebih bersedia dan berusaha semaksima mungkin untuk memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti kelas saya dengan baik. Ternyata sangkaan saya tidak meleset, berkat usaha saya P&P pada hari berikutnya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Walaubagaimanapun saya tidak mudah berpuas hati, sebaliknya saya perlu meningkatkan usaha untuk menjadi yang lebih baik lagi. Semoga semangat saya tidak pernah luntur untuk mendidik anak bangsa tercinta.

Tiada ulasan: