Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KEEMPAT

Perjalanan praktikum saya memasuki minggu keempat. Ini bermakna, saya mempunyai 8 minggu untuk melengkapkan tempoh praktikum saya. Masa berlalu dengan begitu pantas. Pelbagai pengalaman yang telah dilalui, mematangkan saya. Pendedahan demi pendedahan yang saya terima dan lalui sendiri di sekolah pada setiap hari semakin menambahkan rasa kecintaan saya dalam bidang keguruan keguruan. Pengalaman berhadapan dengan karenah pelajar yang pelbagai, membuatkan saya rasa terhibur dan bertambah bersemangat untuk menimba seberapa banyak ilmu untuk menjadi guru yang serba boleh dan berwawasan tinggi sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Saya tidak ingin ketinggalan untuk bersama guru-guru yang lain untuk merealisasikan hasrat murni kerajaan ini.

Membuka tirai pada minggu ini ialah perhimpunan mingguan yang diadakan pada hari Isnin. Guru bertugas pada minggu ini ialah Cikgu Shahril dan Cikgu Limah. Dalam ucapan guru bertugas, Cikgu Shahril mengingatkan para pelajar supaya membuat persediaan untuk Ujian Formatif 3, yang akan diadakan pada 28 haribulan hingga 29 haribulan, iaitu pada minggu depan. Dalam perhimpunan ini juga dimaklumkan mengenai kehadiran guru bimbingan dan kauseling sekolah yang baru dipindahkan ke sekolah ini iaitu Puan Zaleha. Puan Zaleha akan mula bertugas sebagai guru bimbingan dan kaunseling sekolah yang telah laman tidak diisi. Dalam ucapan aluan beliau, beliau merakamkan penghargaan dan harapan yang tinggi untuk membantu membangunkan pelajar dari sahsiah dan akademik supaya seiring dengan perkembangan arus perdana. Pada minggu ini juga, sekolah ini telah menerima dua orang guru praktikum daripada Institut Perguruan Tun Hussein Onn. Mereka terdiri daripada pelajar Ijazah Pertama yang menuntut di Institut Perguruan tersebut yang akan menjalani praktikum selama 5 minggu.

Pada minggu ini juga, pihak sekolah telah didatangi oleh seorang pegawai Pelajaran daerah (PPD), Batu Pahat untuk membuat pemeriksaan ke atas dakwaan tentang kewujudan bangunan retak di sekolah ini. Beliau telah datang untuk menyiaasat dakwaan pihak ibu bapa tentang kewujudan bangunan retak di sekolah ini yang boleh membahayakan pelajar dan warga sekolah yang lain. Hasil siasatan mendapati bangunan yang sebelum ini pernah dijadikan dewan dan bengkel kemahiran hidup sememangnya retak dan tidak selamat untuk diduduki. Oleh yang demikian guru besar telah diminta untuk mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga dengan menutup tempat tersebut dan mengisytiharkan kawasan terbabit tidak selamat dan menjadi kawasan larangan kepada pelajar-pelajar. Para pelajar juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Tindakan drastik ini adalah perlu bagi memastikan keselamatan warga sekolah terutamanya pelajar-pelajar yang masih kecil.

Peristiwa aneh iaitu gangguan makhluk misteri mengisi catatan jurnal saya pada minggu ini. Kejadian bermula apabila pengusaha kantin mengadu tentang kehilangan duit hasil kutipan jualan harian yang berlaku hampir setiap hari. Ini telah menjejaskan pendapatan harian beliau. Beliau telah meminta kebenaran daripada pihak sekolah untuk menutup operasi kantin selama dua hari bermula 25 dan 26 haribulan unutuk tujuan pemulihan. Gangguan ini juga telah menyebabkan kejadian hysteria ke atas dua orang pelajar perempuan yang sedang menghadiri kelas tambahan UPSR pada sebelah malam. Ekoran daripada peristiwa ini, pihak sekolah yang diketuai oleh guru besar telah mengadakan bacaan Yassin dan tahlil sebagai satu usaha untuk mendapat petunjuk dan pertolongan Allah SWT supaya terhindar daripada mala petaka dan bencana yang boleh menjejaskan warga sekolah dan menghalang perjalanan P&P di sekolah. Selain daripada itu, guru-guru melalui kedai buku sekolah bertungkus lumus menyediakan makanan kepada murid sepanjang kantin tidak beroperasi.


Keprihatinan dan semangat kerjasama warga sekolah terutamanya guru-guru di sekolah ini menyentuh hati saya. Bagi memastikan kelancaran P&P, guru-guru sanggup menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar pada waktu rehat, walaupun dibebani tugas-tugas mengendalikan P&P di dalam kelas. Ini yang dinamakan jiwa dan roh guru yang sepatutnya wujud dalam diri mereka yang bergelar guru. Meneruskan usaha untuk mencapai kecemerlangan UPSR, sekolah ini telah mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Matematik . Bengkel ini telah dikendalikan oleh Cikgu Ahmad dari sekolah Sri Perepat dengan kerjasama Panatia Matematik di bawah pimpinan Puan Pabidah. Cikgu Ahmad merupakan guru yang berpengalaman dalam subjek dan antara pemeriksa kertas. Perkongsian pengalaman beliau dalam bengkel diharap dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk dijadikan penduan semasa menjawab kertas peperiksaan seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Pada minggu ini saya telah diselia oleh guru pembimbing sebanyak dua kali, iaitu bagi subjek major dan minor. Pada keseluruhan terdapat beberapa peningkatan dalan mengendalian P&P. Ini adalah hasil daripada bimbingan pensyarah pembimbing dan guru pembimbing yang tidak jemu membimbing saya sepanjang praktikum ini. Walaubagaimanapun, saya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian ini, sebaliknya memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada. Pada saya peluang ini hanya datang sekali dan mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.

Tiada ulasan: