Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KEENAM

Minggu ini merupakan minggu keenam saya menjalani praktikum. Masa begitu pantas sekali berlalu, tanpa saya sedari saya telah melalui separuh masa perjalanan praktikum saya. Sepanjang enam minggu berada di sekolah, pelbagai peristiwa dan pengalaman telah saya lalui. Semuanya ini memberi pengalaman yang amat bermakna untuk dijadikan panduan setelah penempatan nanti. Tidak sabar rasanya menanti saat itu. Semua jerih perih dan penat lelah akhirnya berakhir , dan saya bakal bergelar guru yang terlatih.

Seperti biasa perhimpunan membuka tirai catatan pada minggu ini. Perhimpunan ini merupakan perjumpaan pertama guru besar baru iaitu Tuan Haji Lokman Yunos dengan semua warga sekolah, setelah dilantik sebagai guru besar baru sekolah ini. Pada kesempatan ini beliau telah memperkenalkan diri beliau kepada semua di samping menyatakan hasrat dan harapan yang tinggi kepada semua warga sekolah terutamanya para pelajar. Beliau sedang mengikuti pprogram pensiswazahan guru besar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tidak dapat berada di sekolah seperti biasa. Semasa program lima minit bersama guru besar, beliau telah melahirkan hasrat beliau kepada semua guru supaya memberikan kerjasama yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan visi dan misi sekolah. Tanpa komitmen daripada semua guru hasrat dan impian ini tidak akan tercapai.

Pada minggu ini, sekolah ini telah didatangi oleh beberapa pegawai pergigian dari Pusat Kesihatan cawangan Batu Pahat untuk membuat pemeriksaan gigi ke atas murid tahun 1, 3 dan 5. Ini merupakan pemeriksaan rutin yang dijalankan ke atas murid-murid sekolah. Murid-murid yang mempunyai gigi bermasalah dan masalah gigi sensitif akan diminta untuk membuat rawatan susulan di pusat kesihatan Parit Raja. Program EW20 berjalan seperti biasa pada hari selasa dan khamis. Program bahasa Inggeris selama 20 minit ini antara lain disusun dalam memperkayakan kosa kata dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris di kalangan murid di sekolah ini.

Memandangkan aktiviti ko-kurikulum sekolah pada setiap hari sabtu tidak dapat dijalankan kerana diganti program ganti sekolah dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar-pelajar UPSR. Bagi meneruskan kesinambungan aktiviti ko-kurikulum ini, saya bersama 5 orang guru pelatih yang lain telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan proagram asas latihan kawad kaki badan beruniform bagi murid tahun 4 dan 5. Kami telah berbincang dengan guru pembimbing, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum , Tuan Haji Abas dan guru besar. Pihak sekolah amat berbesar hati di atas komitmen yang kami tunjukkan. Kami telah diberi kenbenaran untuk mengendalikan program latihan ini selama 20 minit, pada setiap hari rabu selama tiga minggu berturut-turut. Program asas latihan kami mendapat kerjasama dan komitmen yang baik daripada semua pelajar. Antara program yang disusun sepanjang program latihan ini ialah sesi latihan dan juga penilaian latihan.

Seperti biasa program membudayakan al-Quran diadakan pada hari jumaat. Pengisian tazkirah pada minggu ini telah disampaikan oleh Ustazah Nur Husna di bawah tajuk ”Mengingati Mati”. Tajuk ini telah dikupas dengan panjang lebar dan antara intipatinya ialah kita perlu sentiasa mengingati mati kerana kematian itu adalah satu kepastian. Kita sentiasa berdoa supaya kematian kita dalam rahmat dan redha Allah. Sentiasa mengingati mati sebagai langkah peringatan kepada kita supaya kita tidak taksub ke atas nikmat dan kemewahan hidup di dunia.

Dalam usaha pihak sekolah menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam ko-kurikulum, unit ko-kurikulum telah mengambil inisiatif menganjurkan satu majlis jamuan ko-Kurikulum. Pada majlis tersebut, seramai 23 0rang pelajar telah diberi penghargaan dalam bentuk wang saguhati dan cenderamata hasil sumbangan pihak sekolah , badan korporat dan orang persendirian. Upacara penuh simbolik ini adalah sebagai satu insentif dan galakan kepada pelajar sekolah ini untuk terlibat dan bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum seperti sukan, kelab dan persatuan pada masa akan datang. Dengan adanya program seperti ini, diharap dapat menjadi nilai tambah kepada pencapaian pelajar yang sedia ada baik dari segi kurikulum mahupun ko-kurikulum , seterusnya dapat mengharumkan nama sekolah.

Tiada ulasan: