Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KElapan

MIinggu ini adalah minggu pertama selepas cuti pertengahan penggal semester kedua. Tanggal 25 Ogos 2008 sekolah kembali dibuka semula setelah bercuti selama seminggu. Tanpa disedari saya telah melalui lapan minggu praktikum. Semakin hari perasaan cinta terhadap profession perguruan semakin mendalam. Saya berjanji pada diri saya akan memanfaatkan setiap saat dalam tempoh praktikum ini untuk mendapat seberapa banyak pengalaman dan pengetahuan dalam menyiapkan diri saya menjadi guru yang serba boleh kelak. Itulah menjadi impian saya sejak melangkahkan kaki ke Institut Perguruan ini. Semoga impian saya ini menjadi kenyataan.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-51, sekolah Kebangsaaan Jelutong juga tidak ketinggalan untuk turut merayakan sambutan kemerdekaan pada kali ini. Pelbagai acara telah disusun antaranya ialah dengan aktiviti menghias bangunan sekolah dan kelas-kelas dengan memasang bendera negeri-negeri dan Jalur Gemilang, nyanyian lagu Jalur Gemilang dan lagu-lagu patriotik, Larian Merdeka, Pertandingan Mencipta Logo Kemerdekaan ke-51, Pertandingan Mencipta dan Membaca Puisi sempena Kemeredekaan dan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik. Acara kemuncak sambutan kali ini ialah majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan Kibar Jalur Gemilang telah diadakan pada perhimpunan mingguan dengan meriah dan penuh simbolik. Selepas ucapan alu-aluan Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum dan ucapan perasmian oleh Guru Penolong Kanan Kurikulum, upacara bacaan sajak dengan penuh semangat telah disampaikan oleh adik Nurul dari tahun 6. Di akhir majlis pelancaran, murid-murid telah menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan mmengibarkan bendera jalur gemilang dengan penuh semangat.

Pada minggu ini saya telah diselia oleh pensyarah pembimbing untuk kali yag kedua. Saya telah berusaha sedaya upaya untuk membuat yang terbaik dengan harapan penyeliaan kali ini lebih baik daripada penyeliaan sebelumnya. Namun, kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan. Semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, power point yang saya sediakan tidak dapat ditayangkan kerana masalah teknikal. Saya cuba untuk tidak panik, sebaliknya mengawal keadaan dengan meneruskan P&P dengan penuh bersemangat. Akhirnya saya berjaya menyelesaikan P&P seperti yang dirancangkan. Cik Norizah selaku pensyarah pembimbing telah memuji cara saya mengendalikan kelas dengan baik. Hasil usaha saya selama ini telah berhasil. Namun saya tidak mudah berputus asa untuk membuat yang terbaik bukan untuk praktikal kali ini saja malah untuk masa depan profession perguruan saya di masa akan datang.

Minggu ini merupakan sesi terakhir asas latihan kawad kaki bagi unit beruniform sekolah untuk muri tahu 4 dan 5. Saya bersama rakan praktikal yang lain telah mengadakan latihan dalam unit beruniform masing-masing. Bagi memudahkan latihan kawad kaki dijalankan supaya lebih seragam dan teratur, teks arahan kawad telah diedarkan kepada komanden setiap unit. Ternyata mereka semua tidak mengecewakan kami guru pelatih, kerana dalam hanya 2 kali latihan mereka telah menunjukkan komitmen tinggi dengan kejayaan mereka membuat kawad kaki dengan kemas dana teratur. Bagi menghargai komitmen mereka dalammenjayakan sesi latihan ini saya bersama rakan pelatih yang lain telah memberi penghargaan kepada mereka. Semoga usaha kami ini sedikit sebanyak dapat membantu sekolah dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam ko-kurikulum di sekolah ini.

Menjelang peperiksaan UPSR yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi, pelbagai program telah disusun antaraya dengan program latih tubi dan gerak gempur yang berterusan telah diberikan kepada semua calon UPSR. Program motivasi pagi diteruskan untuk memberi motivasi dan semangat kepada mereka untuk terus bersemangat dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Program solat hajat perdana telah diadakan di Masjid Jelutong. Program ini telah melibatkan murid-murid tahun 6, ibu bapa murid tahun 6, guru-guru dan kakitangan sekolah serta qariah masjid Jelutong. Ini adalah antara usaha pihak sekolah dengan memohon dan munajat kepada Allah SWT supaya semua murid-muid sekolah ini yang bakal menduduki peperiksaan UPSR akan mendapat keputusan yang cemerlang.
Sepanjang menjalani tempoh praktikum di sekolah ini, pelbagai pendedahan demi pendedahan terutamanya dalam mengendalikan sesuatu program telah memberikan input yang amat bermakna buat saya. Sebagai seorang guru kita bukan hanya perlu tahu kaedah mengajar dan mengendalikan P&P dengan baik tetapi kita juga mesti mempunyai kemahiran organisasi yang baik dan kemahiran interpersonal yang baik. Kemahiran ini tidak akan kita dapati dalam kuliah sebaliknya akan kita perolehi melalui penglibatan kita dalam organisasi dan cara kita berdepan dengan masyarakat terutamanya ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

Tiada ulasan: