Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KELIMA

Berita mengenai perpindahan guru besar Tuan Haji Daud bin Sumrah ke Sekolah Kota Dalam membuka tirai catatan jurnal saya pada minggu ini. Ini bermakna sekolah ini akan menerima guru besar baru dalam sekelip mata. Antara percaya dengan tidak ia merupakan kejutan besar semua warga sekolah ini, kerana guru besar sekolah ini seorang yang sangat dedikasi dan amat disayangi oleh warga sekolah Jelutong. Khabar angin yang bertiup ini akhirnya terjawab apabila guru besar baru Tuan Haji Lokman telah datang untuk melapor diri pada hari selasa. Berita tentang perpindahan guru besar ini tidak diumumkan kepada pelajar kerana bimbang ia akan mengganggu tumpuan pelajar menghadapi peperiksaan. Makluman berhubung pertukaran guru besar ini hanya dimaklumkan kepada pelajar-pelajar pada hari rabu melaui surat edaran kepada ibu bapa. Pelbagai reaksi diterima daripada pelajar-pelajar yang rata-ratanya terkejut dan sedih dengan perkhabaran tersebut. Mereka seperti tidak percaya bahawa dalam sekelip mata mereka akan kehilangan guru besar yang mereka sayangi.

Bagi meraikan pemergian guru besar ke sekolah lain, satu majlis perpisahan dengan tema “Selaut budi, segunung ingatan ” telah berlangsung secara sederhana tetapi meriah dengan upacara penuh simbolik dengan ucapan perpisahan daripada guru besar, guru penolong kanan 1 dan Pengerusi PIBG sekolah. Ucapan daripada Guru Penolong kanan 1 amat menyentuh hati dan mewakili betapa sedihnya warga sekolah atas perpindahan beliau. Penyampaian cenderahati daripada pelajar, guru, PIBG dan kakitangan sekolah turut menyerikan majlis.majlis berakhir dengan acara penuh simbolik perarakan guru besar disepanjang jalan oleh pelajar, guru dan kakitangan sekolah sambil bersalam-salaman dengan guru besar diiringi bacaan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Suasana sedih menyelubungi warga sekolah apabila guru besar meninggalkan perkarangan sekolah dengan lambaian terakhir beliau.
Minggu ini merupakan minggu peperiksaan, semua pelajar di sekolah ini terlibat dalam pelaksanaan ujian ini. Ujian formatif tiga melibatkan pelajar tahun 1,2,3,4 dan 5 berlangsung selama 3 hari dan berjalan lancar serentak dengan UPPM 3 bagi pelajar-pelajar UPSR. Sepanjang mengawasi peperiksaaan, terdapat pelajar-pelajar yang mengambil ujian secara sambil lewa dan tidak menjawab dengan baik. Ini boleh dilihat dengan jelas apabila banyak soalan yang ditinggalkan kosong tanpa jawapan, begitu juga dengan soalan aneka pilihan. Terdapat juga pelajar yang tidak memahami kehendak soalan dan tidak membuat persediaan yang sewajarnya untuk menghadapi peperiksaan. Selain daripada itu, wujud pelajar yang tidak memanfaatkan waktu yang diperuntukkan untuk menjawab dengan baik sebaliknya membuat bising dan mengganggu pelajar lain. Memandangkan minggu ini merupakan minggu peperiksaan, maka P&P tidak dapat dijalankan sepenuhnya.

Sepanjang minggu ini, saya dan rakan-rakan telah ditugaskan untuk menyiapkan badrob dan menyediakan jamuan untuk majlis “Selaut budi, segunung Ingatan” untuk meraikan pertukaran guru besar, Tuan Haji Daud ke sekolah lain. Walaupun badrob yang kami sediakan menerima teguran daripada guru-guru kerana tidak menarik, saya menerimanya dengan redha sememangnya kami tidak mempunyai pengalaman dalam menyediakan badrob. Teguran ini tidak sedikit pun mematahkan semangat saya, sebaliknya saya akan memperbaiki kelemahan dan cuba menimba pengalaman daripada guru-guru lain. Saya bersyukur kerana di kelilingi oleh guru-guru yang tidak pernah lokek untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka. Banyak yang saya belajar daripada penganjuran dan pengendalian majlis ini.
Peristiwa yang sangat memberi kesan dan menyentuh jiwa saya pada minggu ini ialah sambutan yang diberikan kepada guru besar di atas pertukaran beliau ke sekolah lain. Tangisan guru-guru, pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah mengiringi pertukaran beliau benar-benar menyentuh hati saya kerana beliau kehadiran beliau ke sekolah bukan sahaja mencipta kejayaan demi kejayaan baik dari segi kurikulum mahupun ko-kurikulum sebaliknya beliau telah berjaya menyatukan hati semua warga sekolah. Pada saya, Tuan Haji Daud bukan saja seorang guru yang berkaliber tetapi beliau adalah guru yang berjiwa guru dan amat patuh kepada arahan kepimpinan. Ini terserlah pabila beliau akur dengan arahan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, di saat sekolah amat memerlukan suntikan beliau untuk bersama-sama menuju sekolah Cemerlang UPSR, dengan menerima arahan pertukaran dengan hati yang terbuka. Walaupun jauh di sudut hati beliau amat berat meninggalkan sekolah Jelutong ini. Pemergian beliau amat dirasakan oleh semua warga sekolah. Keprihatinan dan kepimpinan beliau sentiasa dirindui oleh semua warga sekolah ini.

Tiada ulasan: