Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KETIGA

Kedatangan minggu ketiga ini ditunggu dengan penuh debaran. Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pada minggu ini saya akan diselia oleh pensyarah pembimbing saya iaitu Cik Norizah binti Taib. Pelbagai persoalan bermain diminda saya, namun saya tekadkan azam saya untuk buat yang terbaik buat diri saya. Seperti minggu sebelumnya, perhimpunan mingguan dijalankan seperti biasa. Saya menghadiri perhimpunan pada pagi tu dengan tenang dan asyik mendengarkan ucapan guru-guru pada pagi itu. Guru bertugas pada minggu ini ialah cikgu Safiah dan Cikgu Mohd Azahan. Dalam ucapan guru bertugas, Cikgu Safiah telah membuat pengisian dengan mengingatkan pelajar tentang adab-adab pelajar terhadap guru. Antara kandungan ucapan beliau ialah:
1. Menghormati dan memuliakan guru sangat dituntut dalam agama. Tempat guru sangat mulia di sisi Allah SWT, sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh guru dalam mendidik dan membimbing umat baik dalam ilmu agama mahupun ilmu duniawi.
2. Menghargai guru bukan hanya semasa hayat mereka, tetapi juga semasa mereka telah tiada dengan mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat.
3. Peranan guru amat berat dan menuntut pengorbanan yang tinggi dan sebagai seorang pelajar kita hendaklah sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam mengurangkan beban dan tekanan semasa mendidik kita .

Semoga segala peringatan yang disampaikan akan diingati dan diamalkan oleh murid-murid. Seperti biasa perhimpunan hari ini ditamatkan dengan bacaan doa penutup, doa penerang hati , surah al-Insyirah dan ikrar pelajar.
Seperti minggu sebelumnya, program EW20 untuk bahasa Inggeris berjalan seperti biasa. Program pada minggu ini dikendalikan oleh Cikgu Shahril dan cikgu Harytah. Minggu ini merupakan minggu ketiga dalam bulan Julai dan minggu ketiga setiap bulan merupakan minggu Ko-kurikulum. Unit beruniform yang bertugas pada minggu ini adalah Persatuan Pengakap di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Ustaz Muzammil. Pengisian minggu ko-kurikulum ini dimulakan dengan pemakaian lengkap baju seragam unit beruniform di kalangan guru-guru dan pelajar sekolah dalam perhimpunan mingguan hari isnin. Perhimpunan pada minggu ini dikendalikan dengan bahasa kawat asas. Walaubagaimanapun, terdapat segelintir pelajar yang tidak memakai pakaian seragam unit beruniform masing-masing, walaupun telah diarahkan berbuat demikian. Sepanjang pemerhatian saya, saya dapati penguasaan kawat kaki pelajar masih di tahap minima dan perlu dibimbing. Masih ramai pelajar yang masih terkial-kial dan tidak memahami arahan kawat yang diberikan. Ini mungkin berpunca daripada sikap sambil lewa pelajar itu sendiri dan kurang bimbingan daripada guru. Pelaksanaan gerko pada hari sabtu perlu dinilai semula memandangkan pelaksanaan sering tertangguh kerana memberi laluan kepada program-program sekolah yang lain.
Pada hari khamis, saya telah diselia oleh pensyarah pembimbing. Perasaan gementar berjaya saya atasi dan berbekalkan persediaan yang telah saya rancang, akhirnya saya dapat lalui jua penyeliaan tersebut. Komen yang membina dan teguran membuka minda saya untuk terus membuat yang terbaik demi masa depan kerjaya saya sebagai guru. Ini adalah medan untuk saya menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman untuk berdepan dengan situasi sebenar kelak. Peluang ini tidak harus disia-siakan dan hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya.

Seperti minggu sebelumnya, program membudayakan Al-Quran pada setiap hari jumaat telah dijalankan secara berasingan antara guru dan murid. Program untuk murid-murid dikendalikan oleh seorang ustaz, pelajar tahun 6 pula mengadakan program solat hajat dan bacaan yassin manakala guru-guru pula mengikuti program tazkirah yang disampaikan oleh ustaz A. Ramli . Beliau telah membuat kupasan tafsiran ayat 52, surah al-Imran. Antara intipati kupasan ialah mengenai pergantungan kita terhadap Allah SWT. Saya bersama rakan praktikum yang lain telah dilantik untuk menjadi fasilitator program Kem Bistari Solat siri 3, bagi pelajar tahun 1. Kami telah diminta membimbing amali dan praktikal serta merekodkan perkembangan pelajar untuk diambil tindakan susulan. Pada keseluruhannya, pencapaian dan penguasaan pelajar dalam fardhu ain khususnya amali solat masih di tahap memuaskan dan perlu dibimbing dari masa ke semasa. Keprihatinan unit Unit Pendidikan Islam dan Jacof di ketuai ole Ustazah Nur Husna dan Ustaz Muzammil, dalam mengendalikan program seperti ini harus dipuji dan dijadikan contoh oleh unit-unit lain.

Semoga semangat saya tidak pernah luntur untuk mendidik anak bangsa tercinta.

Tiada ulasan: