Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU KETUJUH

Minggu ini merupakan minggu ketujuh saya menjalani praktikum. Masa begitu pantas sekali berlalu, tanpa saya sedari saya telah mellaui sebahagian daripada tempoh praktikum. Kedatangan hari Jumaat menyedarkan saya bahawa saya telah melalui seminggu praktikum dan akan menempuh minggu baru pada minggu berikutnya. Minggu ini juga merupakan minggu terakhir sebelum semua murid dan guru akan bercuti sempena cuti pertengahan semester kedua sesi persekolahan 2008. Sekolah akan mula bercuti selama seminggu, bermula 16 Ogos hingga 24 Ogos iaitu selama 9 hari. Ini bermakna saya mempunyai masa untuk menilai semula pencapaian saya sepanjang menjalani sesi praktikum dalam usaha menimba seberapa banyak pengalaman dan pengetahuan sebelum penempatan nanti.

Seperti biasa perhimpunan mingguan membuka tirai minggu ini dengan melakukan sedikit perubahan terhadap susunan atucara perhimpunan selepas mendapat teguran oleh Guru besar, Tuan Haji Lokman bin Yunos . Perubahan ini diharap dapat melancarkan lagi perjalanan perhimpunan mingguan pada mmasa akan datang. Ini merupakan perubahan pertama oleh beliau sejak dilantik menjadi guru besar di sekolah ini. Cikgu Mansor selaku guru bertugas pada minggu ini telah menegur sikap murid Sekolah Kebangsaaan Jelutong yang kurang menghormati guru-guru. Murid-murid diminta agar menghormati semua guru, kakitangan dan sesiapa sahaja yang lebih tua daripada mereka. Amalan hormat menghormati ini amat penting dalam pembentukan sahsiah peribadi yang positif. Tanpa amalan hormat menghormati sesama manusia, manusia akan hidup berpecah belah dan sentiasa bergaduh sesama sendiri. Tingkah laku pelajar tahun enam yang juga calon-calon Ujian Pernilaian Sekolah Rendah(UPSR) juga disentuh supaya mereka lebih serius dalam memberikan tumpuan dan mengulangkaji pelajaran menjelang peperiksaan yang bakal menjelang dua minggu dari sekarang. Ini adalah antara intipati teguran dan nasihat cikgu pada perhimpunan pagi Isnin itu.
Sesi latihan asas kawad kaki siri kedua unit beruniform telah diadakan semasa perhimpunan ko-kurikulum selama 20 minit pada hari Rabu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar terutamanya murid tahun 4 dan 5. Mereka semua amat bersemangat dan memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang sesi latihan. Selaku pengendali program, saya merasa amat terharu dengan sambutan yang diberikan. Sementara itu, program rawatan pergigian telah memasuki minggu kedua di mana sebahagian murid telah mendapat rawatan pergigian secara percuma. Sebelum melabuhkan tirai, demontrasi gosok gigi dengan cara yang betul telah diadakan oleh klinik kesihatan Parit Raja. Antara lain program ini adalah satu usaha mendidik murid mengenai kepentingan penjagaan gigi yang betul dan bersistem supaya gigi kekal cantik dan menarik. Murid-murid tahun 1 hingga tahun 5 telah diminta membawa ubat gigi dan berus gigi, dan membuat praktikal dengan memberus gigi masing-masing di bawah tunjuk ajar jururawat yang telah dilantik.

Menjelang peperiksaan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) yang semakin hampir, program solat hajat, bacaan yassin dan tahlil melibatkan semua guru, kakitangan dan murid tahun 4, 5 dan 6 telah diadakan buat kali yang kedua. Program ini telah diketuai oleh Ustaz A. Ramli. Antara lain program ini diharap dapat membantu calon-calon UPSR Sekolah Kebangsaan Jelutong berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR tahun ini. Program ini menutup tirai minggu ini. Semoga usaha dan doa kita ini dimakbulkan Allah SWT.

Tiada ulasan: