Ahad, 12 Oktober 2008

sistem monarki malaysia

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong Dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Mengikut Perlembagaan Malaysia



Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sedang mencium Al-Quran sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIII pada 26 April 2007 di Istana Negara.
Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia



Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong seperti berikut:
"32. Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, dan Permaisurinya
(1) Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15.
(2) Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
(3) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Majlis Raja-Raja, atau dipecat dari jawatannya oleh Majlis Raja-Raja dan hendaklah terhenti daripada memegang jawatan apabila terhenti daripada menjadi seorang Raja.
(4) Peruntukan-peruntukan Bahagian 2 dalam Jadual Ketiga hendaklah dipakai bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan".
Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti berikut:
"33. Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan
(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan (digelarkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong) dan ia hendaklah menjalankan tugas-tugas serta mempunyai keistimewaan-keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam masa berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas-tugas jawatannya oleh kerana sakit, tidak ada dalam Persekutuan ataupun oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugas itu dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya atau tidak ada dalam Persekutuan selama yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu dan mustahak tugas-tugas itu dijalankan.
(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh-jawatan lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh-jawatannya itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terhenti daripada memegang jawatan apabila terhenti daripada menjadi seorang Raja.
(3) Jika dalam tempoh jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kekosongan berlaku dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tamatlah tempoh jawatannya apabila kekosongan itu dipenuhi.
(4) Peruntukan-peruntukan Bahagian 2 dalam Jadual Ketiga hendaklah dipakai bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan.
(5) Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan supaya tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja jika tugas-tugas itu terpaksa menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan demikian itu oleh kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau tidak ada dalam Persekutuan ataupun oleh kerana apa-apa sebab lain; akan tetapi undang-undang itu tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja".

Tiada ulasan: