Ahad, 12 Oktober 2008

DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PENTADBIRAN

DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PENTADBIRAN
Latarbelakang Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi
Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan
kepada Raja-raja dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun
demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas
mengamalkan agama masing-masing.
Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-kerajaan Negeri dan
Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi.
Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh
mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-
undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid,
pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan Baitulmal. Dalam
tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program
ini telah dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara
baru, antaranya termasuklah tilawah Al-Quran yang telah
mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam.
Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia
Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu
kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang
boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan
peribadi. Kesedaran baru ini, yang menjadi ketara dalam
dekad tujuh puluhan, juga dirasai di Malaysia. Dalam keadaan
ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk
meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam.
Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil,
antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah
agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank
Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian
Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan
usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil 'Dasar
Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran' telah
diperkenalkan pada tahun 1985.
Rasional
Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran adalah
sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk
memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan
rakyat Malaysia. Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada
nilai-nilai khususnya nilai-nilai Islam ialah: "Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara
Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identiti
yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting
sekali dalam pembentukan identiti Warganegara Malaysia
ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh
memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang
disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai
kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa
kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha
mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan
ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai
nilai-nilai yang kukuh." Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum
dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza,
pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat
adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk
identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini
rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung
nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia.
Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta
identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan
maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan
memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu
rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri
dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang
melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh
memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara.
Urusan-urusan yang dijalankan dengan penuh rapi, teliti,
amanah dan rasa bertanggungJawab boleh membawa kepada
pembentukan identiti yang diperlukan oleh sesebuah negara
seperti Malaysia ini. Tanpa penerimaan nilai-nilai hidup
yang mulia tidak mungkin identiti yang membanggakan dapat
dicapai.
Sebagaimana yang sedia dimaklumi 'identiti' tidak boleh
pisahkan daripada nilai. Persoalannya ialah; "Apakah nilai
yang boleh digunakan bagi mengukuhkan sesuatu identiti?"
Ramai yang berpendapat masalah nilai lebih sesuai diserahkan
kepada individu-individu dan komuniti-komuniti yang
berkenaan untuk menentukannya. Tetapi ini tidak akan
menyelesaikan masalah, malah ia akan berakhir dengan
kekeliruan yang berterusan di dalam masyarakat. Oleh itu
adalah sangat wajar sekiranya dijelaskan secara langsung
nilai yang perlu diterima dan diterapkan dalam masyarakat.
Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu
diasaskan kepada kehendak dan pengajaran Islam bagi
membentuk sebuah negara yang produktif dan bermoral tinggi.
Mungkin pada awalnya ia akan dipersoalkan menerusi kacamata
agama atau budaya lain kerana memilih nilai yang diasaskan
kepada satu agama sahaja. Tetapi dengan merenung kembali dan
memahami negara Malaysia itu sendiri, setiap rakyat akan
mendapati dan menyedari bahawa langkah untuk memilih nilai
Islam itu adalah langkah yang wajar. Sebaliknya pula mereka
yang tidak memahami tentang kedudukan Negara Malaysia dari
segi geografi, sejarah, kebudayaan, perlembagaan dan
lain-lainnya akan terus mempertikaikan perkara ini. Walau
bagaimanapun, setelah melihat secara objektif, maka tidak
akan ada satu sebab pun untuk menolak bahawa nilai yang
berasaskan kepada agama Islam itu ialah yang paling sesuai
untuk membangunkan masyarakat Malaysia umumnya. Nilai-nilai
Islam itu boleh menjadi penggerak ke arah membanteras
unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara ini
seperti fahaman komunis, kemiskinan, rasuah, kecuaian,
kejahilan, penyelewengan dan sebagainya yang sentiasa
mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan pembangunan
negara.
Al-Quran juga telah menamakan agama Islam sebagai agama yang
bernilai. Penamaan ini memberikan keyakinan kepada semua
orang bahawa kandungan yang terdapat di dalam kitab suci
Al-Quran itu adalah merupakan nilai-nilai yang mulia
kerana ia merupakan bimbingan-bimbingan (hidayah) yang
datang daripada Allah s.w.t. dan ditujukan kepada semua
manusia, bukan sahaja kepada yang beragama Islam. Di antara
bimbingan-bimbingan yang terpenting ialah perkara-perkara
yang berkaitan dengan moral (akhlak). Ini bererti bahawa apa
yang dimaksudkan dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam
dalam Pentadbiran ialah bimbingan pembentukan akhlak yang
berfaedah dan berfungsi dalam kehidupan setiap rakyat menuju
ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai
yang murni dan membina ke dalam sistem pentadbiran negara.
Pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama
dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain
berasaskan tanggungjawab Kerajaan memastikan kelicinan
jentera pentadbiran Kerajaan yang merupakan saluran
terpenting dalam pelaksanaan sesuatu dasar. Kejayaan
rancangan-rancangan yang diatur oleh Kerajaan sebahagian
besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam
perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh
mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera
Kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah,
penyelewengan dan sebagainya.
Bagi menjayakan pentadbiran Kerajaan, nilai-nilai Islam yang
diutamakan boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia, sama
ada mereka Islam atau bukan Islam. Menurut YAB. Perdana
Menteri, nilai-nilai yang diutamakan untuk pentadbiran yang
boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam ialah amanah
kejujuran, tanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, disiplin,
mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, sanggup
berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral dan
berkelakuan baik dan lain-lain.
Objektif
Objektif dasar ini adalah seperti berikut: (i) Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah,
beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;
(ii) Menubuhkan sebuah 'negara bahagia';
(iii)Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas
yang dipertanggungjawabkan; dan
(iv) Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu. Berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa
dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat
Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya
memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh
semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga
menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.
Nilai-nilai Islam
Hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah
dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut
ialah:
Amanah;
Tanggungjawab;
Ikhlas;
Dedikasi;
Sederhana;
Tekun;
Bersih;
Berdisiplin;
Bekerjasama;
Berbudi Mulia; dan
Bersyukur. Sebelas nilai ini dipilih kerana ia merupakan unsur-unsur
yang boleh diterima sebagai kunci kepada kejayaan dalam
menjalankan urusan-urusan kehidupan terutamanya dalam
pentadbiran sesebuah negara.
Bagaimanakah nilai-nilai Islam ini boleh dihayati? Berikut
ialah takrif/pandangan mengenai sikap dan budaya kerja
berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam
pentadbiran awam. Amanah (i) Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;
(ii) Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan
bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;.
(iii)Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari
mengatasi kepentingan tugas;
(iv) Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada
dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta
tenaga kerja; dan
(v) Mengutamakan kepentingan awam sebagai teras perkhidmatan.
Tanggungjawab
(i) Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap
Tuhan, di samping pekerjaan dan majikan;
(ii) Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi
baik dan buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur,
(iii)Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-
bila sahaja diperlukan;
(iv) Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan
organisasi/instutusi/awam dalam menjalankan tugas; dan
(v) Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
Ikhlas
(i) Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa
mengharapkan balasan dari manusia;
(ii) Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari
rezeki yang halal serta mencari keredhaannya; dan
(iii)Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam
melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah. Dedikasi (i) Kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah
peraturan-peraturan yang ada;
(ii) Komited kepada sebarang perubahan yang positif dan
kepada kebaikan;
(iii)Sedia mengubah sikap demi kebaikan bersama dan tugas;
(iv) Sedia memulakan pembaikan; dan
(v) Berinisiatif dan proaktif dalam melaksanakan tugas
harian. Sederhana (i) Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugas;
(ii) Keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil
kira fakta-fakta yang terdapat dalam alam sekitar;
(iii)Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang
berkaitan untuk membaiki cara bekerja;
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan
pihak-pihak yang berharap kepadanya;dan
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga
mencapai tahap cemerlang. Tekun (i) Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan
dalam tugas dan kehidupan.
(ii) Berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi.
(iii)Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang
berkaitan untuk membaiki cara bekerja.
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan
pihak-pihak yang berharap kepadanya.
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga
mencapai tahap cemerlang. Bersih (i) Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas
seharian;
(ii) Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam
sekitar sebagai satu cara hidup;
(iii)Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;
(iv) Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat
keputusan;
(v) Berkhidmat demi kebajikan semata-mata; dan
(vi) Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi
pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan. Berdisiplin (i) Mengetahui priority dan mengutamakan yang lebih utama;
(ii) Menilai tinggi masa dan janji;
(iii)Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang; dan
(iv) Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi. Bekerjasama (i) Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan
kerja;
(ii) Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti
organisasi sebagai sebahagian daripada usaha
mempertingkatkan semangat kerjasama;
(iii)Mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan di
tempat kerja daripada kepentingan peribadi;
(iv) Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara
kepentingan bersama; dan
(v) Mengelakkan konflik kepentingan berdasarkan peribadi -
mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan
kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara. Berbudi Mulia (i) Bermanis muka sepanjang masa;
(ii) Bertimbang rasa dan bertolak-ansur;
(iii)Menghormati rakan sejawat dan pelanggan/pelawat; dan
(iv) Sentiasa memulakan 'pertanyaan' dengan tujuan untuk
menolong pelanggan/pelawat. Bersyukur (i) Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin
kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat;
(ii) Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif
sehingga menggerakkan untuk lebih berusaha gigih;
(iii)Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak
bertentangan dengan kehendak agama (nilai-nilai agama
dan kerohanian);
(iv) Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
(v) Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang
sia-sia;
(vi) Berkhidmat sebagai ibadah; dan
(vii)Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan
yang banyak kepada masyarkat, negara dan agama. Penghayatan terhadap nilai-nilai akhlak yang murni dan
membina itu akan memudahkan usaha-usaha untuk memajukan
berbagai-bagai bidang yang diperlukan oleh sesebuah negara
seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, pembangunan, undang-
undang dan sebagainya.
Strategi Pelaksanaan
Strategi utama bagi mencapai objektif-objektif dasar ini
adalah seperti berikut: (i) Sebagai permulaan dasar ini adalah ditumpukan kepada
anggota perkhidmatan awam. Pemilihan ini bukanlah
bererti bahawa Kerajaan mengenepikan pihak-pihak yang
lain, malah membuktikan kesedaran pemimpin negara ini
bahawa perkhidmatan awam sebagai jentera yang
melaksanakan pelbagai program dan projek bagi faedah
rakyat dan negara perlu meningkatkan prestasinya dari
semasa ke semasa sejajar dengan harapan rakyat dan
negara; dan
Islam mengakui betapa pentingnya pentadbiran oleh
sebab sebarang reformasi dalam sesebuah masyarakat
tidak akan terlaksana sekiranya jentera pentadbiran
tidak dikemaskinikan serta dibentukkan berdasarkan
nilai-nilai yang positif. Kejayaan bagi sesebuah
masyarakat akan dapat dilihat apabila jentera
pentadbirannya baik dan mampu bertindak terhadap
keburukan dan kelemahan yang ada di dalamnya;
(ii) Usaha untuk menerapkan nilai-nilai ini di kalangan
anggota Kerajaan telah dilakukan melalui penerangan
dan penjelasan dasar ini, teladan pegawai-pegawai
kanan, dan persuasion atau pujukan. Paksaan dan
tekanan dalam apa jua bentuk tidak dilakukan.
Pencapaian
Pencapaian dan Masalah Pelaksanaan
Buat masa ini belum dapat dipastikan tahap pencapaian dasar
ini dan kajian sistematik juga belum dijalankan untuk
mengenalpasti masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya.
Terdapat dua sebab utama yang mengakibatkan keadaan di atas.
Pertama, dasar ini baharu sangat diperkenalkan. Walaupun
perbincangan umum mengenai penerapan nilai-nilai Islam telah
lama wujud tetapi dasar mengenai dalam bentuk yang boleh
dikatakan konkrit hanya setelah teredarnya buku kecil Siri 2
yang di rujukkan. Kedua, dasar ini pada hakikatnya
bertujuan mengubah atau mengukuhkan nilai-nilai hidup
manusia. Lazimnya tujuan seperti ini sukar dicapai dalam
jangkamasa yang pendek lebih-lebih lagi di kalangan mereka
yang mempunyai nilai-nilai hidup lain yang telah sebati
dengan jiwa mereka. Dalam keadaan begini, masa yang lama
diperlukan untuk membantu usaha melaksanakan dasar ini
secara perlahan-lahan.
Penutup
Dasar ini bergantung kepada beberapa faktor untuk
kejayaannya. Antaranya termasuklah political will,
peruntukan kewangan yang cukup, jentera pelaksanaan yang
sesuai dan cekap, dan kesanggupan kumpulan sasaran menerima
dasar ini. Sekiranya faktor-taktor ini tidak wujud sekaligus
dan saling membantu, sukar baginya untuk berjaya. Tetapi
kesukaran ini tidak patut dijadikan alasan untuk mengabaikan
pelaksanaan dasar ini, sebaliknya langkah-langkah mesti
dicari untuk menjayakannya. Adalah menjadi tanggungjawab
setiap pemimpin di semua peringkat untuk mengambil langkah-
langkah yang wajar bagi melaksanakannya, dan setiap
individu yang menyedari akan kepentingan nilai-nilai ini
pula perlu menghayatinya dengan sepenuh hati sejajar
dengan tanggungjawab kepada agama, nusa dan bangsa.

Tiada ulasan: