Rabu, 15 Oktober 2008

JURNAL CATATAN MINGGU PERTAMA

Pengalaman yang saya lalui sepanjang minggu

Hari pertama melangkah kaki ke Sekolah Kebangsaan Jelutong , Parit Raja dengan penuh debaran dan pelbagai persoalan bermain diminda. Inilah pengalaman kali pertama menjejak kaki ke sekolah dan bergelar seorang guru secara formal. Pelbagai persoalan menggangu minda, mampukah saya mengendalikan kelas dan sesi pengajaran dan pembelajaran, bagaimana penerimaan guru-guru dan murid-murid di sekolah dan bermacam lagi. Namun, saya terus kuatkan tekad dan azam inilah kerjaya pilihan saya dan tidak akan berpaling lagi.

Setibanya di sekolah pada jam 6.45 pagi telah memberi gambaran sebenar suasana Sekolah Kebangsaan Jelutong pada awal pagi. Pada pagi itu, saya telah melaporkan diri kepada Guru Besar Tuan Haji Daud bin Sumrah dan Guru Penolong Kanan 1, Puan Mahyah binti Ibrahim . Kedatangan saya disambut dengan baik oleh seluruh warga sekolah samada di kalangan guru mahupun murid-murid. Bertemankan rakan seperjuangan Rozilawati Muda, Maizatul dan Mazira kami melangkah ke tapak perhimpunan untuk menyertai perhimpunan rasmi pada pagi itu. Semasa perhimpunan, pelbagai info disampaikan oleh guru bertugas, guru Bahasa Inggeris dan juga Guru Besar. Pada pagi itu, kami guru-guru praktikum diperkenalkan kepada semua guru dan pelajar dalam satu slot di dalam perhimpunan. Apa yang mengharukan kami, apabila guru besar telah mengalu-alukan kehadiran kami dan amat berbesar hati kerana telah memilih sekolah ini untuk dijadikan tempat praktikum.

Selepas sesi perhimpunan pada pagi itu, dalam program lima ,minit bersama guru besar, guru besar telah memperkenalkan kami kepada barisan guru-guru dan beliau telah meminta kerjasama semua guru untuk memberi kerjasama dan bimbingan sepanjang tempoh kami berada di sekolah ini. Sebaik sahaja program tersebut, saya telah diberi taklimat berhubung pelaksanaan kurikulum di sekolah oleh Puan Mahyah binti Ibrahim. Perbincangan dan penyerahan jadual juga telah diberikan kepada saya. Sepanjang sesi praktikum ini saya telah diamanahkan untuk mengajar dalam mata pelajaran kemahiran hidup, Tahun 4 sebagai subjek major manakala subjek Sains tahun 2 dan Pendidikan Seni Visual tahun 5 Cemerlang sebagai subjek minor saya.

Sepanjang minggu pertama ini, lebih menjurus kepada sesi suai kenal di sekolah dan bukan kepada pengajaran dan pembelajaran,. Pada sesi pertemuan dengan guru pembimbing, saya telah mencadangkan untuk berada dalam kelas bersama guru pembimbing bagi menyesuaikan diri dengan kelas yang diajar. Saya berasa amat bertuah kerana mendapat guru pembimbing yang amat prihatin dan tidak lokek dalam berkongsi pengalaman dan ilmu. Pelbagai tips dan panduan diberi kepada saya supaya perjalanan praktikum saya akan lancar dan tidak menghadapi masalah. Sesi P&P dengan guru pembimbing dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya untuk melihat bagaimana pendekatan, kaedah dan strategi pengajaran yang sesuai kepada murid-murid dalam kelas yang bakal saya kendalikan. Daripada pengalaman itu, saya telah membuat analisis dan homework supaya sesi p&p yang akan dikendalikan kelak berjaya mencapai objektif pembelajaran yang diharapkan.

Pada minggu pertama ini, saya telah berkesempatan mengendalikan P&P sepenuhnya iaitu mengajar mata pelajaran Sains, tahun 2 Gemilang. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang diharapkan. Walaupun begitu, saya tidak mudah berpuas hati, sebaliknya perlu banyak membuat homework untuk P&P seterusnya. Pada minggu ini, saya dan rakan-rakan diberikan waktu relief kelas untuk menampung guru-guru yang tidak hadir kerana menghadiri kursus dan bercuti kecemasan. Peluang ini akan saya manfaatkan dengan mendekatkan diri dengan murid-murid yang bakal diajar, sekurang-kurangnya saya telah bertemu mereka sebelum P&P sebenar. Ini akan memudahkan saya untuk mengendalikan kelas kelak.

Sepanjang minggu ini, pelbagai program telah berlangsung antaranya program latih tubi untuk pelajar UPSR, program bahasa Inggeris EW20 dan Program Solat Hajat UPSR antara guru-guru, kakitangan dan pelajar tahap 2 di sekolah. Program EW20 merupakan program Bahasa Inggeris yang disusun untuk memantapkan pencapaian bahasa Inggeris pelajar di sekolah. Program ini dilaksanakan bermula jam 7.00 pagi hingga 7.20 pagi setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis. Program ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid dalam Bahasa Inggeris. Dalam pada itu, program Solat Hajat dan bacaan yassin untuk pelajar UPSR juga telah dijalankan pada hari Jumaat yang lalu.saya telah diberi peluang untuk terlibat dalam persiapan tempat bagi program tersebut. Oleh kerana program ini hanya melibatkan pelajar tahap 2, saya bersama beberapa orang guru telah ditugaskan untuk mengendalikan program untuk pelajar tahap 1. Program itu diisi dengan tayangan Video himpunan doa-doa dan bacaan dalam solat serta himpunan kisah nabi-nabi dan rasul.

Pelaksanaan ko-kurikulum di sekolah ini dijalankan pada setiap hari sabtu minggu kedua dan keempat. Para pelajar dan guru diminta memakai pakaian seragam unit beruniform masing-masing selain setiap hari Rabu setiap minggu. Saya telah diminta untuk membimbing unit Tunas Kadet Remaja Sekolah dalam unit beruniform. Pengalaman seminggu berada di sekolah ini sedikit sebanyak memberi input berguna untuk saya bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan bukan saja untuk praktikum kali ini tetapi juga dalam profession perguruan kelak.bak kata pepatah, “Yang baik dijadikan panduan yang tak elok dijadikan sempadan”. Pengalaman ini amat bermakna pada saya dan akan saya kenang hingga ke akhir akhir hayat.

Tiada ulasan: