Rabu, 15 Oktober 2008

Isu fokus: minggu keTUJUH

Pengalaman akan mendewasakan seseorang. Semakin jauh kita berjalan semakin banyak pengalaman yang dapat kita timba. Itulah asam garam kehidupan. Pepatah ada mengatakan semakin banyak yang kita belajar, semakin banyak benda yang kita tidak tahu. Oleh yang demikian tidak adalah istilah jemu dalam kamus hidup saya sepanjang praktikum ini. Melalui praktikum ini, banyak perkara baru yang dapat saya pelajari. Pada minggu ketujuh ini saya telah memilih isu penggunaan masa yang tepat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai isu pilihan saya. :

1. Penggunaan Masa yang Tepat Semasa Pengajaran dan Pembelajaran.

Semasa penyediaan rancangan harian, setipa langkah pengajaran diagihkan mengikut masa yang dicadangkan supaya ia tidak lari daripada objektif yang disasarkan.Walaubagaimanapun ia tidak menjadi seperti yang diharapkan.Wujud situasi di mana terdapat aktiviti yang telah dirancangkan tidak dapat dijalankan kerana tidak mempunyai masa yang cukup. Hal ini telah menimbulkan masalah dalam mencapai objektif, khususnya objektif akhir dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada hari-hari tertentu. Masalah ini sering kali timbul terutamanya semasa membuat aktiviti perbincangan dalam kumpulan. Didapati pelajar-pelajar mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan kerja dan laporan hasil perbincangan dan semasa melaporkan hasil perbincangan terdapat beberapa orang pelajar yang tidak dapat menerangkan dengan lancar dan tepat. Masalah ini juga timbul disebabkan masalah teknikal yang berlaku seperti gangguan semasa pemasangan LCD, guru keluar lambat daripada kelas dan gangguan aktiviti sekolah lain seperti perhimpunan yang telah mengambil masa yang lama sehingga telah mengurangkan masa yang telah dirancangkan.



Refleksi

Bagi mengatasi masalah ini terdapat beberapa pendekatan yang patut saya ambil antaranya melalui pembacaan buku-buku yang berkaitan dengan perancangan masa dalam sesuatu proses pengajaran agar dapat menguruskan masa dengan lebih sempurna. Sementara itu, semasa mengendalikan aktiviti perbincangan dalam kumpulan, saya mestilah sentiasa membuat pemantauan dan mengingatkan pelajar mengenai peruntukan masa yang diberikan supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama. Saya juga akan memandu pelajar membuat laporan perbincangan dibuat pada masa yang ditetapkan. Sekiranya perbincangan melibatkan tajuk yang sama, saya akan memilih beberapa hasil perbincangan yang terbaik sahaja untuk dibentangkan. Sealain daripada itu, saya juga akan menyediakan dua plan iaitu plan A dan plan B pada waktu-waktu tertentu terutamanya pada hari-hari yang terlibat dengan perhimpunan sekolah supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dengan masa yang dirancangkan. Perbincangan dalam bentuk bimbingan dan nasihat bersama guru pembimbing dan pensyarah pembimbing serta rakan-rakan juga akan diambil kira supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna dan bersistematik.
Masalah ini tidak boleh dibiarkan dan dianggap remeh kerana ia mungkin akan menjejaskan kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ia tidak diatasi dengan baik ia mungkin akan menjejaskan pencapaian objektif yang dirancang sepenuhnya. Oleh yang demikia, saya perlu memberi penekanan yang lebih terutamanya dalam menyusun peruntukan masa semasa memyediakan rancangan mengajar harian supaya ia seiring dengan objektif yang hendak dicapai

Tiada ulasan: